
Susu ibu sangat istimewa kerana mempunyai kadar percernaan dan penyerapan yang mudah dan cepat, justeru bayi akan merasa lebih cepat lapar berbanding susu formula. Kebiasannya bayi yang menyusu badan, akan menyusu lebih kurang 10 – 12 kali. Jadi, jika bayi anda kerap menyusu sebanyak 10 – 12 kali sehari, INI ADALAH NORMAL.
Dalam banyak situasi, ramai ibu bila mengalami situasi sebegini, akan mengambil keputusan untuk memulakan susu formula. Tapi, tahukah anda kenapa bayi yang minum susu formula ini kenyang lebih lama?
- Ini kerana kandungan protein dan lemak susu formula yang tidak diserap tersisa di dalam usus lebih lama, dan ini membuatkan bayi berasa kenyang lebih lama.
- Susu formula juga tidak mempunyai enzim yang menolong dalam pencernaan (lipase) seperti yang terkandung dalam susu ibu.
Namun dalam sesetengah situasi, jika anda merasakan bayi anda kerap menyusu iaitu lebih daripada 12 kali sehari, apa yang anda boleh buat, perhatikan corak dan tempoh penyusuan bayi anda seperti dibawah;
- Perhatikan pelekapan penyusuan bayi. Ini kerana pelekapan penyusuan yang tidak betul akan mengakibatkan bayi tidak mendapat susu yang cukup disebabkan oleh aliran keluar susu yang tidak efektif. Ini sering berlaku kepada bayi yang diperkenalkan puting tiruan / penggunaan botol terlalu awal, kemungkinan berlaku kekeliruan puting.
- Jika tempoh bayi menyusu pendek (kurang daripada 10 minit) seperti disebabkan bayi kerap tertidur dan sebagainya, ini akan mengakibatkan bayi mendapat susu awal sahaja (foremilk) yang kurang lemak. Ini menyebabkan bayi tidak kenyang dan kerap minta disusukan
- Jika bayi anda mengalami tumbesaran yang cepat (2 – 3 bulan pertama), kebiasaannya bayi akan menyusu lebih kerap dari biasa.
- Pelekapan bayi betul, tetapi bayi seperti tidak puas menyusu dan ritma hisap – telan yang tidak sekata. Ini mungkin disebabkan oleh duktus tersumbat. Penghasilan susu mencukupi, tetapi pengaliran susu tersekat, jadi bayi tidak mendapat susu yang cukup akan kerap minta disusukan.