Ramai ibu yang sangsi apa perlu dilakukan jika ternampak hasil susu yang baru sahaja diperah/pam bercampur dengan darah. Kebanyakkan mengambil keputusan untuk membuang hasil perahan tersebut kerana ragu-ragu adakah hasil perahan tersebut masih boleh diberikan kepada bayi.
Untuk pengetahuan umum, darah di dalam susu sebenarnya adalah merupakan sesuatu situasi yang agak biasa. Ini kerana kemungkinan terdapatnya peningkatan bekalan darah ke payudara (vascular engorgement) yang biasanya terjadi kepada ibu yang kali pertama menjadi ibu dan mengakibatkan salur darah bengkak dan tersumbat. Antara sebab lain termasuklah puting luka (cracked nipple), ketumbuhan kecil dalam payudara serta penggunaan pam payudara yang terlalu agresif, tidak betul atau sedutan yang terlalu kuat pada jangka masa yang lama sehingga boleh mencederakan tisu dan kapilari darah di sekitar payudara.
Menurut rujukan, susu bercampur darah tidak akan memudaratkan bayi dan penyusuan boleh diteruskan asalkan anda tidak mengalami sebarang kesakitan. Namun, jika susu tercemar dengan darah sehingga mengubah rasa susu. kadang kala ini menyebabkan bayi anda menolak untuk meneruskan penyusuan. Namun, jika bayi menyusu dengan baik dan tidak muntah, adalah selamat untuk sesuatu penyusuan itu diteruskan.