Apabila ada masalah penyusuan selepas kelahiran bayi, ramai ibu memilih untuk memberikan susu formula kepada bayi mereka. Ini adalah normal, namun secara tidak langsung, perkara ini boleh menyebabkan susu badan semakin berkurangan akibat kurangnya permintaan daripada bayi sekiranya ibu tidak mengambil langkah yang sesuai bagi meningkatkan semula penghasilan susu. Pada ketika ini juga, bayi telah mula diperkenalkan terlalu awal dengan penggunaan puting susu (sama ada puting tiruan ataupun botol). Akibatnya, bayi akan mudah untuk mengalami situasi keliru puting. Ini menyebabkan bayi menolak terus penyusuan ibu kerana cara hisapan dan aliran susu yang tak sama (penyusuan melalui puting tiruan (botol) adalah lebih mudah)
Bila bayi mula menolak penyusuan ibu, ibu akan berasa tertekan dan seterusnya dalam sesetengah situasi memberhentikan penyusuan ibu seawal satu bulan selepas kelahiran bayi. Ini adalah salah satu contoh, sebenarnya, terdapat banyak situasi lain lagi yang menyebabkan ibu terpaksa hentikan penyusuan ibu, termasuklah terpaksa berpisah dengan bayi, masalah kesihatan dan sebagainya.
Namun, bolehkah untuk ibu memulakan kembali penyusuan ibu setelah menghentikannya dalam satu tempoh masa?
Jawapan: Ya, penyusuan semula (relaktasi) selepas berhenti menyusu badan adalah bukan satu perkara mustahil atau mitos. Walaupun dalam situasi susu ibu sudah pun tiada (kering), ibu masih berpeluang untuk ransang semula pengeluaran susu bagi meneruskan penyusuan ibu. Dalam kamus perubatan penyusuan, situasi ini dikenali sebagai relaktasi, iaitu satu proses memulakan kembali penyusuan ibu selepas proses penyusuan terhenti dalam satu jangka masa tertentu.
Berapakah peratusan kejayaan ibu yang melakukan proses relaktasi (penyusuan semula) ini?
Menurut sumber kajian, dengan bantuan teknikal penyusuan yang betul, peratusan ibu kejayaan dalam proses relaktasi ini adalah sangat tinggi (75 – 98%) dengan syarat pastikan anda dibantu oleh kaunselor laktasi terlatih dalam relaktasi. Ini kerana, dengan bantuan, semestinya perjalanan relaktasi anda akan menjadi lebih mudah. Ia dapat memastikan anda melakukan perkara yang betul dan terbukti keberkesanannya, bukan hanya sekadar ‘try and error‘ berdasarkan pemahaman anda sendiri melalui pembacaan di ‘internet’.
Dalam proses untuk relaktasi ini sebenarnya, motivasi diri adalah merupakan perkara yang paling penting menentukan kejayaan proses relaktasi anda. Ini kerana sejauh mana dan setinggi mana tekad anda, maka setinggi itulah kejayaan anda. Paling penting dalam usaha ini, dapatkan sokongan daripada orang terdekat anda, untuk terus menyokong anda berusaha dalam perjuangan anda. Kena ingat ini, penyusuan semula ini walaupun bukan mustahil, namun perjalanannya adalah tidak semudah disangka, namun ia boleh menjadi mudah dengan sokongan orang disekeliling anda.