
Rahsia kejayaan penyusuan ibu adalah sangat bergantung kepada persedian ibu dalam memulakan penyusuan daripada segi pengetahuan dan pengalaman. Dengan adanya 2 faktor ini, ibu lebih mudah untuk membuat perancangan rapi dan persediaan awal untuk memulakan penyusuan ibu supaya lebih mudah dan teratur. Ramai yang beranggapan penyusuan adalah sesuatu yang semula jadi dan naluri keibuan pasti dapat mengatasinya.
Hakikatnya, terdapat ramai ibu yang mengambil mudah tentang ilmu penyusuan ini yang gagal dalam menyusukan anak mereka secara eksklusif selama 6 bulan pertama. Sedangkan dalam masa 6 bulan pertama, hanya susu ibu titisan emas yang sepatutnya diberikan kepada bayi secara eksklusif.
KENAPA ANDA PERLU MENYUSUKAN ANAK?
Susu ini adalah sumber zat makanan yang sempurna untuk anak tanpa memerlukan anda mengeluarkan modal yg tinggi, dan paling penting ia berubah-ubah mengikut keperluan semasa bayi anda. Menyusukan bayi anda memberi pelbagai faedah lain, antaranya:
- Membantu bayi anda melawan jangkitan dan membentuk bakteria baik dalam sistem pencernaannya. Bayi anda mendapat kesemua nutrien yang diperlukan untuk membesar dengan baik daripada susu anda, disamping mendapat perlindungan daripada bakteria berbahaya.
- Susu ibu mengandungi antibodi daripada badan anda yang membantu melindungi bayi anda daripada sakit perut (gastroenteritis), selesema, jangkitan dada dan jangkitan telinga
- Membantu membentuk ikatan rapat di antara ibu dan anak, dan dapat membantu mengelakkan kemurungan selepas bersalin.
- Memberikan bayi anda merasa pelbagai rasa yang berbeza. Berbanding dengan susu formula, susu ibu mempunyai rasa berbeza, bergantung kepada apa yang anda makan. Dengan ini, bayi anda akan kurang cerewet dalam memilih makanan apabila dia sudah bercerai susu kelak.
- Apabila bayi anda sudah besar sedikit, penyusuan badan menjadi satu cara untuk menenangkan bayi jika dia tidak sihat dan tidak lalu makan. Susu ibu juga membantu bayi sembuh daripada penyakit dengan lebih cepat. Apabila bayi anda sudah mula makan makanan pejal, anda masih boleh meneruskan penyusuan badan
Sedarkah anda, susu ibu bukan sekadar makanan untuk memenuhi keperluan fizikal, malah ia susu ibu adalah ubat terbaik untuk anak anda, serta mampu untuk memenuhi keperluan emosi dan rohani anak anda. Ini kerana kebiasaannya, semasa menyusu, ibu akan memangku dan memeluk anak mereka, sambil membelai dan membuatkan anak berasa selamat dan disayangi. Secara Realitinya, Bersedialah Untuk Memulakan Perjalanan Penyusuan Anda Dengan Ilmu, Kerana Ia Lebih Mudah Jika Anda Faham Konsep Yang Betul.
PENYUSUAN SELEPAS BERSALIN
Sebaiknya, pilihlah untuk melahirkan bayi di HOSPITAL RAKAN BAYI, kerana ia akan memudahkan perjalanan penyusuan anda. Ini kerana kebiasaannya nurse adalah terlatih daripada segi ilmu laktasi, dan akan membawa bayi kepada anda untuk disusukan sama ada sewaktu doktor sedang menjahit luka atau selepas semuanya selesai. Biasanya, dalam masa satu jam pertama selepas kelahiran anak anda telah pun dapat menyusu secara direct dengan anda.
Namun, jika anda memilih untuk bersalin di HOSPITAL SWASTA / HOSPITAL BUKAN RAKAN BAYI (tidak menyokong penyusuan ibu), Anda WAJIB memaklumkan pada pihak hospital tentang pilihan anda untuk MENYUSUKAN ANAK HANYA DENGAN SUSU IBU (exclusive breastfeeding). Jika tidak, kebarangkalian yang besar anak anda akan diberi susu formula sebagai minuman pertama mereka.
Pastikan anak diberi kepada anda dalam tempoh setengah jam selepas dilahirkan untuk skin to skin contact (ransangan kulit ke kulit) selama 1 jam dan disusukan buat kali pertama selama 10 – 60 mins bergantung kepada kehendak bayi. Rangsangan awal ini adalah sangat-sangat penting. Walaupun dalam situasi bayi keletihan dan mengantuk, dan masih belum bersedia untuk memulakan penyusuan, pastikan anda melakukan ransangan kulit ke kulit dan juga kenali tanda-tanda bayi anda ingin menyusu. Minta bantuan, jika perlu.
Sekiranya dalam tempoh 2-3 jam selepas melahirkan, nurse masih tidak membawa anak kepada anda (HOSPITAL BUKAN RAKAN BAYI ), maklumkan kepada nurse untuk menyusukan bayi anda. Paling penting, jangan risau bayi tidak pandai menghisap, sememangnya ALLAH dah cipta manusia itu selengkap-lengkapnya – sekiranya kelahiran anda normal, sepatutnya tiada masalah untuk bayi anda menghisap dengan sempurna. Cuma pastikan pelekapan dan posisi menyusu anda adalah betul. Selepas sesi pengenalan ini dengan bayi anda, teruskan kekerapan penyusuan agar anda dapat memberi ransangan secukupnya bagi menjayakan proses pengeluaran susu.
Tahukah anda, kajian menunjukkan, jika penyusuan dimulakan sebaik sahaja kelahiran bayi, masalah susu tidak keluar sehingga hari ke-4 atau ke-5 dapat dielakkan!
Jika anda bersalin secara normal, anda WAJIB untuk memohon supaya anak anda tidur bersama anda (ROOM IN) bagi membolehkan anda menyusukan bayi sekerap yang boleh atau mengikut permintaannya (FEEDING BASED ON DEMAND).
Sekiranya anda akan dibekalkan dengan susu formula daripda mana-mana pihak, sebaiknya, jangan simpan, berikan kepada ibu yang tidak berhasrat untuk menyusukan anak mereka. Ini kerana, sekiranya anda ada susu formula atau ada hasrat kononnya untuk dijadikan sebagai susu “back up”, mind set anda akan terganggu dan badan tidak bersedia 100% untuk menghasilkan susu ibu yang cukup untuk anak anda.
JADI, APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN SETELAH BAYI DILAHIRKAN?
1. SUSUKAN ANAK SECEPAT MUNGKIN
Sebaiknya mulakan penyusuan dalan tempoh 30 min pertama selepas kelahiran. Ini kerana Refleks Rooting dan hisapan bayi adalah paling tinggi dalam masa tersebut. Satu hingga dua jam pertama kelahiran merupakan waktu paling tenang dan paling peka buat bayi. Inilah waktu terbaik untuk bayi mengenal payudara dan belajar menyusu.
Jika anda letakkan bayi atas dada anda pada waktu ini, biasanya bayi dengan sendirinya akan mencari payudara. Jika anda perasan akan struktur payudara anda, ada terdapat bintil-bintil lemak atas di kawasan areolar yang mana dikenali sebagai kelenjar montgomery yang berfungsi menghasilkan bau yg unik membuatkan bayi kenal dengan payudara ibunya.
2. SUSUKAN ANAK SEKERAP MUNGKIN
Di awal kelahiran, pastikan anda susukan bayi dengan kerap setiap jam sekali atau 2 jam sekali. Kebiasaannya bayi yang baru lahir lebih banyak tidur. Bagi sesetengah bayi yang suka tidur, sebaiknya kejut bayi untuk menyusu. Kebiasaannya bayi baru lahir menghabiskan 60% masanya dengan tidur, bagaimanapun setelah itu mereka akan kerap bangun untuk menyusu dan diselang selikan dengan tidur yang singkat.
Justeru itu, penting untuk anda mengenali tanda-tanda bayi ingin menyusu serta pastikan anak menyusu 8-12 kali dalam tempoh 24jam. Dengan kekerapan penyusuan yang tinggi lebih banyak hormon prolaktin akan terhasil dan seterusnya menghasilkan lebih banyak susu dengan izin Allah. Tambahan pula, kajian menunjukkan biasanya bayi yang cukup susu di awal kelahiran adalah mudah terhindar daripada sakit kuning.
Jika bayi anda kerap menyusu, jangan merungut, ia merupakan suatu perkara yang normal dan sangat baik, penuhilah permintaannya. Ini kerana, bayi anda sebenarnya sedang membantu anda menghasilkan susu yang lebih banyak dan meriah. Tahukan anda, susu hanya akan banyak jika payudara menerima stimulasi maksimum dari bayi.
3. ELAKKAN PEMBERIAN SUSU MENGGUNAKAN BOTOL SUSU ATAU PENGGUNAAN PUTING TIRUAN
Pemberian susu melalui botol atau penggunaan puting tiruan di awal kelahiran boleh menyebabkan bayi menjadi keliru puting. Kebanyakkan bayi yang terbiasa dengan cara hisapan menggunakan botol akan menolak jika diberikan susu secara direct breastfeeding. Ini kerana bayi sudah terbiasa dengan cara hisapan botol yang lebih mudah dan aliran susu botol yang lebih tinggi. Jika perlukan bantuan, cuba gunakan alternatif lain seperti pemberian susu melalui picagari atau feeding cup.
KESIMPULAN
Secara umumnya, setiap ibu berkebolehan untuk menghasilkan susu yang secukupnya untuk anak mereka. Namun terdapat pelbagai sebab yang menjadikan ibu mengalami masalah kekurangan susu.
Salah satu masalah utama sangat berkait rapat dengan permintaan susu daripada bayi (ibu gagal memenuhi permintaan bayi), kebolehan ibu untuk memastikan payudara secara efektif di payudaranya, posisi dan pelekapan yang salah – akibatnya bayi tidak dapat menyusu secukupnya atau bila mana bayi teah diberikan cecair tambahan seperti susu formula. Secara tidak langsung akan menyebabkan bayi kurang menyusu di payudara dan seterusnya mengurangkan penghasilan susu ibu.
Sebab itu, ilmu dalam penyusuan adalah sangat penting. Bila anda faham kepentingan praktis yang betul dalam penyusuan ini akan memudahkan perjalanan penyusuan anda. Antara tips yang boleh lakukan untuk pastikan payudara dikosongkan dengan sempurna termasuklah;
- Pastikan bayi menghisap di payudara dengan betul
- Praktikkan urutan payudara
- Susukan bayi di kedua-dua belah payudara. Tunggu sehingga bayi habis menyusu di sebelah payudara dahulu sebelum menawarkannya sebelah payudara lagi.
- Pam/perah payudara selepas menyusu jika bayi tidak dapat mengosongkan kedua-dua payudara dengan efektif.
Sejujurnya,bukan mudah untuk menjayakan Penyusuan Susu Ibu kerana ianya memerlukan pengorbanan daripada pelbagai segi. Namun, KESABARAN, KEYAKINAN dan KEGIGIHAN adalah kunci KEJAYAAN. Tekadkan Hati, Teruskan Usaha Yang Murni, kerana anda sedang memberikan hanya susu terbaik yang disebut dalam Al-Quran buat anak anda!