Kajian mendapati 95% bayi akan menjadi keliru puting sekiranya diberikan puting tiruan seawal 3 – 4 minggu kelahirannya. Namun, jika anda bekerja dan perlu untuk memperkenalkan penggunaan botol kepada bayi, sebaiknya, tunggu sehingga bayi berusia 4 minggu sebelum mula memperkenalkan penggunaan botol susu kepadanya. Ini kerana, jika masalah keliru puting ini berlaku sebenarnya, lebih sukar untuk memujuk bayi menyusu daripada payudara ibu.
Namun, jika terdapat situasi yang menghendaki pemberian susu diberi melalui peralatan tambahan, terdapat beberapa cara pemberian susu yang anda boleh praktikkan termasuklah pemberian susu menggunakan cawan penyusuan, sudu kecil atau picagari.
Teknik pemberian susu kepada bayi dengan menggunakan cawan adalah seperti berikut;
- Letakkan bayi dalam kedudukan menegak (upright ~ 90%) atau condongkan sikit (Semi Upright ~45%) di atas ribaan anda.
- Ampu belakang bayi, kepala, leher, dan punggung
- Pegang cawan/sudu kecil yang mengandungi perahan susu ibu.
- Sentuhkan cawan/sudu di bahagian bibir bawah bayi dan hujung permukaan cawan menyentuh bibir atas bayi.
- Apabila bayi tersedar, dia akan membuka mulut dan matanya.
- Condongkan sedikit cawan / sudu sehingga susu mencecah lidah bayi dan biarkan bayi menghirup perlahan-lahan dan menelan susu.
Pada permulaannya, adalah biasa untuk susu tumpah sedikit. Namun, lama kelamaan apabila pemberian stabil, susu akan lebih banyak masuk ke dalam mulut bayi. Apabila kenyang, bayi akan berhenti menghirup dengan sendiri. Jadi, pastikan anda tidak menuang perahan susu ibu terus ke dalam mulut bayi.