Argh!!! Sakitnya!!! Memang sakit kalau bayi menggigit puting semasa menyusu. Tambahan pula, dalam situasi bila bayi sudah mempunyai gigi serta gusi yang keras. Kebiasannya, bayi yang menyusu tidak akan menggigit puting ibunya. Namun, kadang kala ianya boleh berlaku dalam beberapa situasi dibawah;
- Bayi yang baru hendak tumbuh gigi dan mengalami kegatalan gusi.
- Bayi yang baru tumbuh gigi dan ingin mengetahui apa yang boleh dilakukan dengan benda (gigi) yang baru berada di dalam mulutnya.
- Bayi sebenarnya tidak menyusu, kerana bayi yang menyusu tidak menggigit.
- Bayi ingin beri isyarat kepada ibu bahawa bayi sudah kenyang (jadi perhatikan tandanya).
Dalam situasi ini, ibu perlu faham bahawa tiada bayi yang ingin menyakiti ibunya. Hal ini berlaku kerana bayi tidak faham makna “kesakitan” pada ibu akibat daripada perbuatannya. Jadi, adalah penting untuk ibu memberi response sewajarnya untuk memberikan signal kepada bayi bahawa perbuatan tersebut adalah tidak boleh dilakukan. Jadi, apa yang boleh ibu lakukan sejurus selepas bayi menggigit putingnya?
- Elakkan daripada terus menarik payudara keluar daripada mulut bayi
- Jika ini berlaku, ia akan mengakibatkan puting ibu menjadi luka.
- Dekatkan badan anak kepada ibu sehingga mukanya tenggelam di payudara ibu. Ini akan mengakibatkan hidung bayi terhalang dan pernafasaanya menjadi sedikit sukar. Bayi kemudiannya akan melepaskan payudara ibu daripada mulutnya.
- Elakkan daripada menjerit dengan kuat
- Ini akan menakutkan bayi, dan kemungkinan bayi akan menolak untuk sesi penyusuan berikutnya kerana ketakutan.
- Hentikan penyusuan sebaik sahaja bayi mengigit
- Ini akan memberi signal kepada bayi yang dia tidak boleh menggigit sekiranya mahu meneruskan penyusuan.
- Jika anda mendapati bayi menggigit kerana kegatalan gusi atau mahu tumbuh gigi, berikan sesuatu yang sesuai dan bersih untuk bayi mengigit.
- Sekiranya bayi masih mengigit, jika anda telah melakukan perkara diatas, katakan kepada bayi dengan nada yang tegas (bukan menjerit). Kemudian, hentikan penyusuan seketika dan cuba untuk susukan bayi anda selepas itu. jika bayi terus mengigit, hentikan terus sesi penyusuan tersebut (bayi mungkin tidak mahu menyusu).