Bayi yang baru lahir akan menyusu 8 – 12 kali sehari pada bulan pertama kelahirannya. Namun, jika bayi anda telah diperkenalkan dengan susu formula, anda akan merasakan perbezaan bayi yang menyusu badan akan lebih kerap lapar berbanding dengan bayi yang menyusu formula. Ini adalah normal, kerana susu ibu lebih mudah dihadam dan mempunyai enzim pencernaan yang membantu dalam proses penghadaman ini. Susu formula pula mengandungi protein dan lemak yang tidak mudah dicerna, diserap dan tersisa di dalam usus dan bayi, dan ini menyebabkan bayi berasa kenyang lebih lama.
Bayi yang menyusu badan sepenuhnya biasanya akan menyusu lebih kerap, dan ini yang sebenarnya meransang lebih banyak susu dihasilkan. Bila bayi berumur 1 – 2 bulan, kekerapan ini akan menurun menjadi 7 – 9 kali sehari. Sebaiknya susukanlah bayi anda berdasarkan kepada kehendak bayi dan bukannya mengikut jadual tertentu.
Namun, jika anda merasakan bayi anda kerap menyusu iaitu > 12 kali sehari, perhatikan corak dan tempoh penyusuannya. Bayi anda berkemungkinan mengalami situasi seperti dibawah;
- Namun dalam sesetengah situasi, jika anda merasakan bayi anda kerap menyusu iaitu lebih daripada 12 kali sehari, apa yang anda boleh buat, perhatikan corak dan tempoh penyusuan bayi anda seperti dibawah;
- Perhatikan pelekapan penyusuan bayi. Ini kerana pelekapan penyusuan yang tidak betul akan mengakibatkan bayi tidak mendapat susu yang cukup disebabkan oleh aliran keluar susu yang tidak efektif. Ini sering berlaku kepada bayi yang diperkenalkan puting tiruan / penggunaan botol terlalu awal, kemungkinan berlaku kekeliruan puting.
- Jika tempoh bayi menyusu pendek (kurang daripada 10 minit) seperti disebabkan bayi kerap tertidur dan sebagainya, ini akan mengakibatkan bayi mendapat susu awal sahaja (foremilk) yang kurang lemak. Ini menyebabkan bayi tidak kenyang dan kerap minta disusukan
- Jika bayi anda mengalami tumbesaran yang cepat (2 – 3 bulan pertama), kebiasaannya bayi akan menyusu lebih kerap dari biasa.
- Pelekapan bayi betul, tetapi bayi seperti tidak puas menyusu dan ritma hisap – telan yang tidak sekata. Ini mungkin disebabkan oleh duktus tersumbat. Penghasilan susu mencukupi, tetapi pengaliran susu tersekat, jadi bayi tidak mendapat susu yang cukup akan kerap minta disusukan.