Tahukah anda? Bayi yang baru dilahirkan akan aktif dalam masa 2 jam pertama kelahiran sebelum bayi tertidur keletihan ekoran daripada proses kelahirannya. Malah kajian menunjukkan pada masa ini bayi berada dalam keadaan peka yang disertai dengan refleks hisapan yang kuat yang dapat meransang penghasilan hormon prolaktin dengan lebih tinggi. Masa ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan proses sentuhan kulit ke kulit (klik link untuk baca) yang mana bayi sebenarnya tidak sabar untuk berada dalam pelukan ibu di samping bersedia memulakan penyusuan mereka yang pertama untuk menikmati titisan emas yang dikenali sebagai kolostrum.
Terdapat kajian menunjukkan, jika penyusuan awal berjaya dilakukan pelbagai masalah penyusuan seperti susu kurang atau tiada pada hari-hari pertama kelahiran bayi dapat dielakkan. Ini kerana hisapan pertama yang kuat dapat meransang lebih banyak reseptor prolaktin terbentuk untuk menghasilkan ransangan yang lebih tinggi. Namun, Penyusuan awal ini akan meninggalkan kesan positif yang mendalam dan ianya sangat membantu memudahkan perjalanan penyusuan anda.
Namun jika anda tidak dapat memulakan penyusuan dengan lebih awal atas sebab-sebab tertentu, jangan bersedih atau kecewa kerana terdapat ramai ibu yang lewat memulakan penyusuan susu badan tetapi akhirnya berjaya menjalin hubungan yang baik dengan bayi mereka. Malah ada yang berjaya menyusukan anak mereka semula sehingga 2 tahun dan sebagainya. Paling penting teruskanlah memberi peluang kepada bayi anda peluang untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran baru ini dan kepada anda sendiri untuk belajar.
Selepas dua jam kelahirannya, bayi akan tertidur lena dengan yang lebih lama, kebiasaanya dalam 12 – 20 jam, dan bayi juga kerap tertidur ketika sesi penyusuannya. Lazimnya, bayi akan menyusu badan setiap 1 – 3 jam sekali atau sebanyak 10 – 12 kali sehari. Susu ibu mudah dihadam dan bukanlah mustahil jika bayi anda terasa lapar semula dalam masa satu atau satu setengah jam kemudian. Corak penyusuan ini akan berubah daripada hari ke hari atau dalam hari yang sama. Ia juga berkadar langsung dengan perkembangan kapasiti perut bayi (rujuk gambar di bawah). Untuk bayi yang mengalami tumbesaran yang cepat akan menyusu lebih kerap daripada biasa.
Berapa lama sebenarnya bayi perlu menyusu?
Sebenarnya, tiada waktu khusus berapa minit atau berapa lama untuk bayi menyusu. Kebiasannya tempoh penyusuan adalah antara 20 – 40 minit. Bagi tempoh yang terlalu lama (lebih daripada 1 jam) atau terlalu pendek (kurang daripada 10 minit), kemungkinan berlaku masalah penyusuan seperti pelekapan yang tidak sempurna, bayi tertidur semasa menyusu, masalah duktus tersumbat dan sebagainya.
Diingatkan, jika bayi sering tertidur semasa menyusu, ia tidak semestinya menandakan bayi tersebut kenyang. Ada sesetengah bayi sangat selesa bila berada dekat dengan ibu, mudah tertidur semasa menyusu dan menjadikan sesi penyusuan mereka tidak lengkap. Jika bayi anda mempunyai ciri-ciri ini, apa yang anda boleh buat termasuklah;
- Kejutkan bayi ketika menyusu seperti mengusap/ mengusik bahagian tapak kaki dan tangannya.
- Kerap bercakap dengan bayi (pelbagai intonasi suara) semasa menyusu supaya bayi tidak cepat tertidur.
- Keluarkan puting dari mulut bayi – jika mulutnya masih membuat gerakan seperti menghisap, teruskan penyusuan dengan lebih lama supaya bayi mendapat susu akhir (hind milk).
- Buka semua kain balutan badannya supaya kaki dan tangannya keluar dan bergerak-gerak.
- Cuba menyusu bayi dalam posisi menegak (bayi seperti berdiri)
- Gunakan teknik menukar payudara dalam satu penyusuan. Apabila bayi tertidur, tukarkan ke payudara sebelah lagi.
- Jika ibu terlalu penat kerana bayi menyusu agak lama, bertukar kepada posisi penyusuan yang lebih selesa dan tidak menyakitkan badan i.e berbaring.
Jadi, Berapa Banyak Susu Yang Dikatakan Cukup Untuk Bayi Saya?
Ramai ibu jadi keliru dan risau sama ada susu yang dihasilkan mencukupi atau tidak untuk bayi kesayangan mereka. Jadi bagaimana sebenarnya anda dapat menentukan bahawa bayi anda cukup susu atau tidak? 9 tanda di bawah adalah merupakan gabungan tanda yang lebih ‘reliable’ untuk menentukan sama ada bayi anda cukup susu atau tidak.
- Kenaikan berat badan bayi anda adalah baik mengikut carta tumbesaran bayi(purata 150 gm setiap minggu). Pada minggu pertama, sesetengah bayi kehilangan berat badan beberapa auns tetapi memperolehinya semula di akhir minggu kedua.
- Kekerapan Air kencing (Urin) Output: 6 – 8 kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam.
- Air kencing (Urin) bayi anda akan kelihatan berwarna jernih dan tidak berbau.
- Kekerapan membuang air besar : 3 – 4 kali dalam masa 24 jam (berkurangan bila bayi >1 bulan). Semakin meningkat usia bayi semakin kurang ia membuang air besar dan kadangkala tidak membuang langsung untuk beberapa hari. Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu kurang berbau berbanding bayi yang menyusu dengan susu formula.
- Bayi anda menyusu sebanyak 8 – 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama kelahirannya. Bayi yang baru lahir akan menyusu setiap satu hingga 3 jam dalam masa 24 jam. Jika bayi tidur dengan nyenyak untuk selama lebih 4 jam dalam dua minggu yang pertama selepas kelahiran, kejutkannya untuk disusui
- Bayi melepaskan dengan sendiri payudara, dan payudara berasa lebih lembut selepas penyusuan.
- Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit dan lembap.
- Bayi anda aktif dan peka
- Bayi anda mempunyai “Good muscle tone” – otot lebih tegang dan tidak lembik bila dipegang.
- Tidurnya nyenyak, bayi kelihatan cergas ketika bangun tidur.