Pedih ulu hati adalah masalah biasa yang dihadapi oleh ibu hamil yang memberi rasa panas seperti terbakar dan pedih yang biasanya dirasakan pada bahagian bawah tekak sehingga ke bahagian bawah tulang dada. Hal ini berlaku apabila asid perut naik ke bahagian esofagus, dan ada kalanya naik sehingga ke tekak atau mulut seterusnya meninggalkan rasa masam dan pahit. Situasi ini berlaku disebabkan oleh hormon progesteron yang banyak dirembeskan semasa hamil berfungsi untuk melonggarkan otot-otot lembut dalam uterus (rahim) juga melonggarkan injap yang berfungsi mengasingkan bahagian perut dan esofagus. Hormon progesteron ini juga menyebabkan proses pencernaan menjadi lembab.
Dan, bila bayi anda dah semakin besar pula di hujung kehamilan anda, ia boleh menyebabkan usus dan perut anda tertolak ke atas. Perkara ini boleh menyebabkan proses pembuangan juga menjadi lambat, justeru memaksa asid di dalam perut naik ke dalam esofagus. Bila ini berlaku, selalunya ia akan menimbulkan rasa ketidak selesaan kepada ibu, terutamanya selepas makan.
Antara aktiviti pencetus utama pedih hulu hati termasuklah makan, berbaring dan membongkok. Jika anda boleh mengenalpasti aktiviti apakah yang mencetuskan pedih ulu hati atau apa yang membuatkannya lebih teruk, anda boleh cuba untuk mengelakkannya. Antara perkara lain yang anda boleh buat termasuklah;
- Pastikan anda makan dengan sedikit tetapi kerap dan makanlah secara perlahan-lahan. Perkara ini dapat membantu untuk mengelakkan asid daripada terkumpul dalam perut anda kerana makanan akan meneutralkan asid perut anda.
- Elakkan daripada mengambil makanan yang boleh menyebabkan situasi ini bertambah teruk seperti makanan pedas, berlemak dan berempah, coklat, buah-buahan sitrus, alkohol dan kopi. Dan, pastikan anda jangan makan sambil menyulam air (elakkan minum semasa makan).