
Cara bagaimana anda menyimpan susu adalah penting kerana ia menentukan kualiti serta daya tahan susu perahan anda. Ini adalah sangat penting kerana penyimpanan yang tidak betul akan mengakibatkan pengurangan kandungan antibodi, antioksidan, enzim, sel-sel darah putih dan kandungan lemak yang berkhasiat untuk tumbesaran bayi.
Nota: Bagi pemilihan bekas simpan, jika anda menggunakan bekas plastik, pastikan anda perhatikan dahulu nombor kod plastik yang biasanya tertera di bawah bekas tersebut. Elakkan daripada menggunakan kod no 3 (tiga), 6(enam) dan 7(tujuh). Bekas yang selamat adalah bekas dengan kod no 5 (lima) – polypropylene. Tidak boleh gunakan bekas dadih untuk penyimpanan susu berulang kali kerana dikhuatiri akan dicemari bahan kimia tersebut
Berikut adalah merupakan tips penyimpanan susu yang anda boleh ikuti bergantung kepada keperluan seharian anda;
- Bekas menyimpan susu mestilah steril dan bersih.
- Simpan kuantiti yang mencukupi dalam satu bekas untuk sekali penyusuan.
- Tinggalkan sedikit udara di dalam bekas penyimpanan untuk membolehkan proses pengembangan berlaku jika susu dibekukan.
- Labelkan bekas dengan nama bayi, tarikh dan masa mula pemerahan.
- Bagi cara penyimpanan – sila rujuk gambar di bawah. Panduan ini adalah untuk kegunaan bayi yang sihat dan lahir cukup bulan sahaja. Penyimpanan susu untuk bayi pramatang adalah berbeza.
- Pastikan anda menggunakan susu yang lebih awal terlebih dahulu.
- Sentiasa periksa tarikh penyimpanan susu anda.