( NOTA: ARTIKEL INI DISERTAKAN BERSAMA GAMBAR NAJIS )
Secara umumnya, najis bayi adalah berubah-ubah bergantung kepada usia bayi, pemakanan dan gaya hidup bayi anda. Secara umumnya, memang ada perubahan atau perbezaan bagi najis bayi yang baru lahir, bayi menyusu badan, bayi yang minum susu formula dan untuk bayi yang sudah mula mengamalkan diet makanan pejal (solid food). Ianya berubah dari faktor kekerapan, warna dan tektur kepejalan najis bayi sendiri.
BERAPA KERAP BAYI SAYA PATUT MEMBUANG AIR BESAR?
Ini adalah bergantung kepada diet bayi anda. Bayi bayi yang menyusu badan tanpa memakan makanan pejal boleh membuang air besar lebih kurang empat kali sehari, namun membuang air besar sekali dalam tiga hari juga dianggap normal dan anda tidak perlu risau mengenai kekerapannya selagi najis bayi lembut dan mudah keluar. Namun, jika bayi anda menyusu dengan susu formula, bayi perlu membuang air besar setiap hari untuk mengelakkan sembelit.
A. NAJIS BAYI BARU LAHIR (MEKONIUM)
Pada awal kelahiran bayi, bayi akan membuang najisnya yang berwarna antara hijau gelap atau kehitaman, atau lebih dikenali sebagai mekonium. Najis mekonium ini adalah terdiri daripada bahan-bahan yang telah terkumpul dalam usus bayi anda, semasa bayi ada dalam kandungan anda.
TIPS: LAGI KERAP ANDA MENYUSUKAN BAYI DI AWAL KELAHIRAN, MAKA LAGI CEPATLAH NAJIS MEKONIUM INI AKAN DIKELUARKAN! Ini kerana susu kolustrum (berwarna kekuningan – susu di awal kelahiran bayi) adalah bersifat LAKSATIF yang akan membantu bayi anda untuk mengeluarkan najis mekonium dengan lebih cepat daripada badannya. Jadi, pastikan di awal kelahiran , susukanlah bayi anda sekerap yang mungkin. Ia juga amat membantu untuk meransang penghasilan susu badan dengan lebih banyak.
Setelah fasa kolustrum berakhir, di awal susu anda terhasil, najis bayi kebiasannya akan bertukar menjadi warna kuning – hijau. Bila susu matang lebih banyak dihasilkan, najis bayi akan berubah daripada kuning-hijau kepada kuning keemasan atau perang coklat. Ia mungkin kelihatan cair bergantung kepada susu bayi anda.
Soalan: Jika bayi sakit kuning (jaundis) selepas lahir apakah warna najis bayi saya?
Bayi yang mengalami jaundis biasanya masih lagi mengeluarkan najis berwarna kuning keemasan.
Boleh rujuk artikel ini untuk tips dan cara rawatan bagi bayi sakit kuning atau jaundis: https://www.mithalimoms.com.my/bayi-saya-kuning-jaundis-tips-cara-rawatan/
B. NAJIS BAYI YANG MENYUSU BADAN / MINUM SUSU IBU
Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu kebiasaannya berwarna kekuningan atau keemasan dan kurang berbau. Jika bayi anda menyusu badan sepenuhnya tetapi najis berwarna kehijauan, cuba selidik semula cara penyusuan bayi. Ini menunjukkan bayi mendapat lebih banyak susu foremilk (susu awal) sahaja yang mana kandungan air dan protein adalah lebih tinggi.
Jika ini berlaku, betulkan cara penyusuan bayi supaya bayi mendapat lebih banyak susu hindmilk yang mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi.
C. NAJIS BAYI YANG MINUM SUSU FORMULA
Najis bayi yang menyusu dengan susu formula kebiasaannya berwarna kuning pucat dengan tekstur yang lebih pekat dan agak besar berbanding bayi yang minum susu ibu. Ini kerana susu formula sukar dihadam oleh bayi dan tidak mempunyai enzim penghadaman seperti susu ibu. Najisnya juga berbau agak kuat.
D. NAJIS BAYI YANG MENGANDUNGI ZAT BESI (IRON FORTIFIED)
Najis bayi yang diberi zat besi tambahan, adalah normal akan berwarna kehitaman, tetapi segera berjumpa doktor jika tiada zat besi tambahan diberikan tetapi najis bayi berwarna kehitaman.
E. NAJIS BAYI YANG MAKAN MAKANAN SOLID
Bila bayi anda mula makan makanan pelengkap (bila bayi berumur 6 bulan atau 180 hari), najis bayi akan mula menjadi separa pejal, berwarna coklat cair dan agak berbau.
F. NAJIS BAYI SEPARA HADAM
Najis bayi yang mempunyai makanan separa hadam adalah dianggap normal pada kebiasannya. Namun, jika bayi menunjukkan masalah secara konsisten untuk menghadam sesetengah makanan, anda mungkin boleh elakkan daripada bayi memakan makanan yang tidak boleh dihadam buat sementara waktu.
Jika bayi anda makan dengan banyaknya dan makanan tersebut tidak dapat di hadam. salah satu tips yang anda boleh lakukan adalah berikan bayi anda makanan dalam kuantiti yang lebih kecil untuk membantu makanan dihadam dengan lebih baik.
G. NAJIS BAYI YANG MENGALAMI CIRIT BIRIT
Najis bayi yang mengalami cirit birit adalah lebih cair, dan bayi akan membuang secara dengan lebih kerap berbanding biasa. Bawa bayi berjumpa doktor jika keadaan berterusan. Ini adalah penting untuk elakkan bayi anda mengalami masalah dehidrasi.
Jika bayi sudah makan makanan pelengkap, anda boleh memberi bayi makanan seperti pisang, nasi, apple, susu ibu yang mengandungi tannins yang boleh bantu untuk memejalkan semula najis bayi.
Nota: Susu ibu adalah remedi terbaik untuk memastikan keseimbangan diet bayi dan membantu masalah berkaitan dengan perut.
H. NAJIS BAYI YANG MENGALAMI SEMBELIT
Najis bayi yang mengalami sembelit, najisnya akan menjadi keras, berketul-ketul dan kering. Kebiasannya masalah ini tidak berlaku kepada bayi yang minum susu ibu kerana susu ibu mempunyai kandungan yang seimbang daripada segi jumlah protein dan lemak serta mempunyai enzim pencernaan.
Jika bayi anda menyusu susu formula (belum makan makanan pelangkap), anda mungkin boleh untuk mencuba menukar susu formula tersebut kepada susu formula yang sesuai untuk penghadaman bayi anda. Anda tidak dinasihatkan untuk mencairkan susu kerana kuantiti yang disarankan adalah merupakan kuantiti yang sepatutnya di terima boleh bayi anda mengikut umur dan keperluan sehariannya.
Jika bayi sudah makan, tingkatkan serat dalam diet bayi seperti pengambilan jus prune, buahan dan sebagainya.
I. NAJIS BAYI YANG MENGANDUNGI MUKUS
Najis yang mengandungi mukus boleh menunjukkan bahawa sesuatu yang mungkin tidak betul. Ia mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan bayi mendapat susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk) atau, bayi mengalami allergy, kahak atau jangkitan kuman / bakteria.
Jika bayi menunjukkan tanda sakit yang lain, segeralah membawa bayi berjumpa dengan doktor. Terdapat juga situasi bila bayi mula tumbuh gigi (teething), yang mana air liur bayi akan menjadi lebih banyak keluar dan bayi menelan air liur tersebut. Ini juga boleh menyebabkan najis kelihatan seperti bermukus.
J. NAJIS BAYI YANG BERCAMPUR DENGAN DARAH / BERWARNA MERAH
Najis yang berwarna merah tidak semestinya menunjukkan sesuatu yang serius sedang berlaku. Ia juga kesan daripada memakan makanan tertentu (i.e beets).
Namun, jika najis normal bercampur darah, ada kemungkinan bayi mengalami alergi pada protein susu tertentu. Anda boleh cuba tukar jenis susu yang digunakan dan monitor sebarang perubahan. Dinasihatkan berjumpa doktor.
Jika sembelit bercampur darah, berkemungkinan terdapat koyakan / kecederaan kecil pada hujung anus bayi.
Jika najis bayi cair (seakan cirit birit) dan mempunyai kesan darah berwarna merah raspberry, ianya kemungkinan juga ada jangkitan bakteria. Dinasihatkan berjumpa doktor.
Salam Sayang Selalu!
MithaliMoms