Isteri berpantang di rumah sendiri? Jika dulu ini adalah situasi yang tidak diingini oleh setiap wanita yang baru bersalin. Kini sudah menjadi lumrah, ekoran keperluan hidup semasa. Jadi, suamilah tempat isteri bergantung harap menjaga bayi yang masih kemerahan dan juga dirinya yang baru lepas bersalin.
Jadi sebagai suami, apa yang boleh anda buat? Berikut adalah merupakan antara cara dan panduan yang boleh anda lakukan dalam usaha menjaga isteri yang berpantang di rumah sendiri:
A. Penjagaan Isteri Daripada Segi Emosi
Isteri yang sedang berpantang adalah lebih sensitif, kerana pada waktu ini emosinya lebih mudah terganggu kerana isteri penat dan sedang melalui proses penyembuhan selepas melahirkan bayi. Dalam kebanyakkan situasi, suami kena banyak bersabar dan sentiasa bagi sokongan moral kepada isteri. Pasti kan isteri cukup rehat dan cukup tidur serta bantu isteri ketika bayi berjaga pada waktu malam.
- Fahami Isteri Anda!
- Ramai suami berkata, isteri mereka sukar difahami. Namun, isteri adalah insan istimewa berjiwa halus yang diciptakan untuk melengkapkan kehidupan anda sebagai suami dan ayah. Jadi, berusahalah seadanya bertolak ansur dan memahami secara lembut isteri anda pada ketika ini.
- Beri Sokongan Kepada Isteri Anda! Suami adalah nadi seorang isteri. Suami juga tulang belakang kepada emosi dan suasana sebuah rumahtangga.
- Semasa berpantang, emosi wanita kurang stabil kerana banyak perubahan yang berlaku walaupun secara teorinya mereka sudah bersedia. Ketika ini isteri anda juga ketika ini sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini kerana secara praktikal adalah sangat-sangat berbeza.
- Dalam proses menyusukan bayi juga, isteri memerlukan sokongan suami ketika mana susu badannya keluar hanya setitis-setitis sedangkan selama ini mereka ingat susu boleh terus keluar mencurah-curah.
- Isteri perlukan sokongan suami apabila mertua mencadangkan penggunaan buaian sedangkan si isteri berkeras tidak mahu dan banyak lagi. Jadilah perantara yang bijak antara isteri dan ibu anda!
- Isteri perlukan sokongan suami di kala mereka terlalu mengantuk akibat tidak tidur berjam-jam di waktu malam menjaga bayi anda sedangkan anda sedang indah dibuai lena tidur dengan mimpi indah.
- Paling penting, peka dan sensitif dengan kemahuan isteri anda, elakkan sebarang masalah salah faham daripada segi komunikasi dan carilah ilmu untuk bantu isteri anda melalui proses ini dengan lebih mudah.