
Bengkak payudara memang sakit! Ia biasanya terjadi dalam minggu pertama atau kedua selepas melahirkan anak. Ada juga berlaku selepas itu.. Sesetengah ibu akan rasa sakit seluruh payudara, dan ada juga pada sesetengah bahagian sahaja. Anda juga mungkin mengalami demam. Tetapi jangan risau. Walau seteruk manapun bunyinya, keadaan ini hanyalah sementara. Namun, jika anda tidak menangani masalah ini dengan sebaiknya, ia dapat menyebabkan masalah lain yang lebih teruk lagi seperti ductus tersumbat, dan radang payudara. Antara sebab berlakunya bengkak payudara ini termasuklah;
- Lambat mulakan penyusuan ataupun bayi tertinggal sesi penyusuan yang sepatutnya diambil.
- Pelekapan yang tidak betul
- Menyusu mengikut jadual bukan mengikut kehendak bayi.
- Bayi diberi cecair lain selain daripada susu ibu.
- Bayi tidak dapat menyusu dengan efisien (selalunya terjadi kepada ibu yang mengalami proses bersalin yang rumit dan juga diberi ubat tertentu).
- Ibu memberhentikan penyusuan secara tiba-tiba.
- Payudara tidak dikosongkan dengan berkesan semasa memerah susu. Aliran susu yang tidak dikosongkan ini akan menyebabkan susu terkumpul dan menyebabkan payudara bengkak.
- Kecederaan payudara – bila ada saluran susu tercedera, susu tidak akan dapat mengalir dengan berkesan.
Jadi, apa yang boleh anda buat untuk merawat masalah ini? Pertama, ingatlah bahawa payudara bengkak adalah tanda yang positif, iaitu anda sedang menghasilkan susu untuk menyusui bayi anda, dan tidak lama lagi, dengan bantuannya, anda akan menghasilkan jumlah yang sesuai. Cara pengedalian masalah ini adalah bergantung kepada situasi anda;
- Jika bayi anda boleh menghisap sendiri – Berikanlah penyusuan yang kerap dan bantu dalam bayi melekap dengan betul di payudara anda.
- Jika bayi tidak boleh menghisap atau sukar untuk melekap di payudara – lakukan pemerahan susu ibu untuk melembutkan bahagian areolar bagi memudahkan bayi anda melekap. Boleh melakukan pemerahan susu sepenuhnya, jika perlu.
- Sebelum sesi penyusuan, ransang letdown refleks (oksitosin) untuk memudahkan susu mengalir keluar dengan melakukan;
- Tuaman suam
- Urut leher dan belakang badan ibu (Klik Untuk Urutan Belakang)
- Urutan lembut di payudara (Klik Untuk Urutan Payudara)
- Sentiasa bertenang (Klik Untuk Kenapa Ibu Menyusu Kena Tenang)
- Pastikan persekitaran yang selesa
- Selepas sesi penyusuan – untuk mengurangkan kesakitan atau bengkak boleh melakukan tuaman sejuk.
Antara perkara yang boleh ibu lakukan untuk mengatasi masalah ini daripada berlaku adalah;
1. Mulakan penyusuan awal selepas kelahiran bayi.
2. Pastikan teknik pelekapan bayi dan posisi penyusuan adalah betul.
3. Pakailah coli menyusu yang memberi sokongan, termasuk pada waktu malam. Pastikan ia benar-benar padan dan tidak terlalu ketat.
4. Susukan bayi anda dengan kerap;
- Pastikan bayi anda menyusu daripada kedua-dua belah payudara pada setiap penyusuan. Pastikan sebelah yang pertama tadi telah dihisap sepenuhnya sebelum memberikan yang sebelah lagi.
- Jika bayi tidak dapat kosongkan payudara anda, perah atau pam susu untuk mengosongkannya.
- Pada sesi penyusuan yang berikutnya, mulakan dengan sebelah payudara yang terakhir dihisap.
5. Jika bayi sukar melekap pada payudara anda apabila areolar sangat keras;
- Perah dengan tangan atau pam susu keluar sehingga areola menjadi lembut.
- Satu cara untuk memudahkan pengeluaran susu ialah dengan meletakkan tuala panas di dada, ataupun mandi dengan air suam sebelum memerah. Air suam mandian itu sendiri mungkin boleh menyebabkan susu keluar dengan sendirinya dan dapat melembutkan areola. Ini mungkin akan memakan masa. Sabarlah, dan teruskan mencuba!
6. Jika payudara adalah terlalu penuh dengan susu, perah/pam untuk mengeluarkan susu berlebihan. Penghasilan susu yang berlebihan hanya akan berlaku jika si ibu mengepam lebih daripada keperluan bayinya sedangkan bayi itu sudah menyusu dengan baik.
7. Semasa bayi sedang menyusu, urut payudara secara perlahan-lahan. Ini dapat membantu pengaliran susu dengan lebih lancar dan turut melegakan sedikit ketegangan dan ketidakselesaan pada payudara.
8. Sesetengah wanita mendapati, meletakkan daun kubis segar pada payudara boleh membantu melegakan kesakitan, walaupun tiada bukti untuk menyokongnya. Daun kubis itu mungkin ada kesan penyejukkan tetapi ia tidak dapat mengubati penyebab sebenar payudara bengkak iaitu susu tidak dikeluarkan daripada payudara dengan efisien.
9. Jika anda tidak dapat menahan sakit, anda boleh ambil ubat tahan sakit seperti parasetamol.