Penghasilan susu secara konsisten adalah sangat penting untuk setiap ibu bekerjaya.Malah kebiasaannya, ibu bekerja akan berusaha keras untuk memastikan bekalan susu adalah mencukupi untuk dibekalkan kepada penjaga. Namun dalam banyak situasi, ramai ibu menghadapi masalah susu semakin kurang apabila pulang kembali bekerja. Walhal, pada awalnya susu mereka adalah banyak dan mencukupi.
Jadi, kenapa boleh terjadinya susu makin kurang bila ibu mula bekerja ini?
Hakikatnya, pada awalnya ramai ibu lebih bersemangat tinggi untuk menjaga kekerapan pam / memerah susu. Namun, apabila bebanan tugas semakin tinggi dan banyak, jadual pam / memerah ini tidak lagi dapat diikuti secara konsisten dan baik. Hal ini menyebabkan kekerapan pam (kosongkan payudara) semakin berkurangan tanpa disedari. Apa yang berlaku, bila ibu kurang memerah susu, badan akan mendapat isyarat bahawa tidak perlu untuk menghasilkan susu dalam kuantiti yang banyak dan sedia ada. Jadi, isyarat yang diterima akan menyebabkan susu berkurangan atas sebab permintaan daripada badan ibu sendiri.
Antara sebab lain kenapa susu ibu berkurang semasa bekerja termasuklah;
- Ibu terpaksa bertugas di luar daerah yang menyebabkan ibu dan bayi berjauhan.
- Bayi yang kurang menyusu pada waktu malam sedangkan hormon prolaktin yang meransang penghasilan susu adalah paling tinggi dirembeskan pada waktu malam.
- Keperluan bayi meningkat beberapa hari kerana “Growth Spurt” atau lebih dikenali dengan beralih bulan. Situasi ini biasanya berlaku semana 3 – 7 hari dan kemudian kekerapan penyusuuannya akan kembali normal.