Muntah atau terjeluak (mengeluarkan semula susu yang diminum dengan jumlah yang sedikit) susu selepas sesi penyusuan seringkali menimbulkan kebimbangan kepada ramai ibu. Bila ianya sering berlaku, kita akan tertanya-tanya ‘normalkah situasi ini? atau ada apa yang tidak kena sebenarnya?
Dalam situasi biasa, bayi muntah selepas sesi penyusuan adalah merupakan perkara normal yang kerap berlaku pada minggu-minggu awal penyusuan kerana pada waktu ini bayi anda masih lagi menyesuaikan diri dengan keperluan susu tubuh badan mereka. Sesetengah bayi juga berkecenderungan untuk minum susu melebihi daripada kapasiti perut mereka (rujuk gambar bawah), dan ini menjadikan mereka terlalu kenyang. Bila ini berlaku, ia menyebabkan bayi mudah terjeluak lalu mengeluarkan semula susu yang telah diminum.
Gambar: Saiz Perut Bayi Baru Lahir
Terdapat juga situasi bila berlaku refleks ejeksi semasa sesi penyusuan, yang mana susu akan memancut dengan terlalu laju dan banyak atau mungkin disebabkan oleh otot injap bawah saluran makanan esofagus bayi yang belum matang. Namun, kebiasaannya, anda boleh bezakan sama ada bayi anda muntah atau hanya terjeluak sahaja.
Ini kerana apabila bayi muntah, ia akan mengeluarkan susu dalam jumlah yang banyak. Dan bila ini berlaku, ia akan menakutkan bayi anda menyebabkan ia mungkin menangis. Jika perkara tersebut adalah normal, muntah selalunya akan berkurangan dalam masa 6 hingga 24 jam selepas ianya bermula, tanpa sebarang rawatan tertentu selain dari perubahan dalam pemakanan bayi. Sekiranya bayi anda sihat dan berat badannya bertambah, anda tidak perlu risau.
Sebenarnya, selain daripada masalah kesihatan, terdapat banyak perkara lain yang menyebabkan bayi muntah termasuklah:
- mabuk kereta
- masalah ketidakcernaan / ketidakhadaman
- tangisan yang berpanjangan dan melampau
- batuk
- dan sebagainya
Jadinya, bila patut saya risau bila bayi saya muntah?