![](https://www.mithalimoms.com.my/wp-content/uploads/2017/01/bayi-mogok-susu.jpg)
Mogok susu (enggan menyusu) adalah satu keadaan dimana bayi yang kebiasaannya menyusu secara normal, menolak untuk disusukan secara tiba-tiba. Walaupun dalam situasi tersebut, ibu tidak berusaha atau membuat sebarang initiatif untuk menghentikan penyusuan tersebut. Mogok susu (enggan menyusu) kebiasaannya berlaku dalam tempoh beberapa hari, namun boleh berlarutan sehingga seminggu lebih.
Terdapat banyak sebab yang meransang bayi untuk mogok susu (enggan menyusu), ini termasuklah;
- Bayi tidak berasa selesa semasa sesi penyusuan akibat masalah kesihatan seperti luka dalam mulut, jangkitan telinga mahupun hidung tersumbat.
- Ibu menukar bau-bauan seperti menukar minyak wangi, sabun atau losyen yang menyebabkan bayi merasa terganggu dengan perubahan bau tersebut.
- Terdapat perubahan rasa pada susu ibu akibat daripada pengambilan ubatan, herba atau sebarang makanan tertentu.
- Gusi bayi merasa tidak selesa kerana giginya mula tumbuh.
- Terdapat perubahan pada rutin penyusuannya, seperti ibu mula bekerja, bertukar penjaga ataupun ibu “outstation”, yang mana terpaksa berjauhan dengan bayi.
- Ibu yang tertekan, kerana bayi lazimnya dalam merasai tekanan yang dirasai oleh ibu dan seterusnya mempengaruhi proses penyusuannya.
Terdapat juga segelintir bayi yang mogok susu dengan tiada sebab tertentu yang dapat dikenalpasti. Namun, ibu dinasihatkan daripada terus menunjukkan reaksi kecewa, atau pun tertekan dengan situasi bayi yang sedang mogok susu ini. Ini kerana, ia hanya menyebabkan bayi merasa lebih tidak selesa untuk meneruskan penyusuan tersebut. Antara tips yang ibu boleh lakukan termasuklah;
- Mulakan kembali sentuhan kulit ke kulit (skin to skin) dengan lebih kerap lagi.
- Belai, peluk, dodoi dan berjalan-jalanlah dengan bayi anda. Penggunaan baby sling semasa berjalan-jalan juga membantu.
- Mandi dengan bayi anda.
- Susukanlah bayi anda pada waktu malam semasa bayi mengantuk atau ketika bayi baru bangun tidur. Elakkan memaksa bayi, jika bayi menolak.
- Susukan bayi anda di tempat yang aman/tenteram dan tidak banyak gangguan daripada persekitaran.
- Pastikan bayi menunjukkan tanda-tanda cukup susu yang baik (kenaikan berat badan, kencing & membuang air besar secukupnya)
Paling penting dalam masa ini, ibu hendaklah memastikan bayi mendapat susu secukupnya serta kosongkan payudara secara konsisten sama ada melalui penyusuan bayi mahu pun secara pam/perah. Ini adalah memastikan bekalan susu anda stabil dan tidak berkurangan akibat permintaan (bayi) yang berkurangan.
Jika semua tips di atas telah dilakukan, dan bayi masih lagi mogok susu, berjumpalah dengan pakar perubatan kerana dikhuatiri bayi mengalami masalah kesihatan seperti jangkitan mulut, telinga dan sebagainya.
Always keep strong in breastfeeding okay mommies!!