Kajian nutrisi mendapati terdapat jurang tenaga yang diperlukan oleh bayi selepas bayi berumur 6 bulan. Jurang tenaga ini hendaklah ditambah dengan memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi. Selain jurang tenaga yang ketara, kanak – kanak berusia 12 – 23 bulan juga mempunyai jurang sumber protein, zat besi dan vitamin A yang perlu didapati daripada makanan pelengkap yang diberikan kepada mereka.
PRINSIP 1: PENYUSUAN IBU
- Amalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga berusia enam bulan.
- Makanan pelengkap perlu diberikan mulai umur enam bulan (180 hari), di samping meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur 2 tahun.
PRINSIP 2 : MAKANAN PELENGKAP
- Berikan makanan pelengkap kepada bayi berusia enam bulan samada yang menyusu susu ibu atau rumusan bayi. Makanan pelengkap melengkapkan penyusuan susu ibu dan bukan menggantikannya. Aktiviti pemberian makanan pelengkap yang berkesan termasuklah sokongan untuk meneruskan penyusuan susu ibu.
- Penyusuan susu ibu perlu diteruskan mengikut kehendak bayi sehingga berumur dua tahun.
- Berikan makanan pelengkap hanya apabila bayi telah mencapai penyelarasan otot saraf (neuromuscular) dan kematangan fisiologikal.
- Pengenalan kepada makanan pelengkap di antara umur 4 – 6 bulan hanya boleh dipertimbangkan secara individu ke atas bayi yang mengalami pertumbuhan yang kurang baik setelah segala usaha telah dilakukan untuk meningkatkan penyusuannya (atas nasihat pakar).
PRINSIP 3 : TINGKATKAN KUANTITI MAKANAN
Beri makanan yang cukup bagi memenuhi keperluan tenaga. Mulakan dengan kuantiti makanan yang sedikit dan apabila bayi dapat menyesuaikan diri, tingkatkan kuantiti secara beransur-ansur mengikut umur. Tingkatkan amaun makanan mengikut umur untuk setiap kali makan (contoh seperti di bawah).
Makanan Dengan Kepekatan Yang Cukup Dan Kekal Lama Pada Sudu (lihat gambar di bawah) akan Memberikan Tenaga Yang Lebih Kepada Anak. Mulakan dengan kuantiti makanan yang sedikit dan apabila bayi dapat menyesuaikan diri, tingkatkan kuantiti secara beransur-ansur mengikut umur.