Pemakanan ibu hamil adalah sangat penting yang perlu dititikberatkan kerana makanan yang kita ambil, jika tidak selamat boleh memudaratkan kesihatan kita dan bayi kita. Jadi, adalah sangat penting untuk anda faham bagaimana untuk menguruskan pemakanan anda agar risikonya menjadi rendah. Dalam artikel ini, saya kongsikan antara 10 makanan yang perlu anda elakkan termasuklah;
1. PENGAMBILAN KAFEIN SECARA BERLEBIHAN
Satu fakta yang perlu anda tahu tentang kafein adalah ia bersifat ‘stimulant’ dan juga diuretik. Sifat “stimulant” ini menyebabkan kafein berupaya untuk menyebabkan peningkatan tekanan darah dan juga kadar dengupan jantung yang mana tidak sesuai untuk ibu hamil. Sifat “diuretik” ini pula akan meningkatkan kekerapan ibu membuang air kecil, dan jika ibu tidak minum secukupnya boleh sebabkan masalah dehidrasi.
Malah jika diambil secara berlebihan, boleh berisiko menyebabkan keguguran, kelahiran bayi pramatang, bayi kurang berat atau mengalami kecacatan semasa lahir dan pelbagai masalah lain. Menurut kajian yang dikeluarkan oleh American Journal of Obstetrics and Gynaecology, 2008, didapati wanita yang mengambil 200 mg atau lebih kafein setiap hari dua kali ganda lebih berpotensi untuk mengalami keguguran berbanding wanita yang tidak mengambil kafein.
Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh journal Epidemiology, pengambilan sebanyak 200 – 350 mg sehari oleh ibu hamil adalah kurang berisiko untuk mendapat kesan negatif. Namun, untuk langkah selamat, ibu hamil dinasihatkan untuk hadkan pengambilan maksimum sebanyak 200 mg setiap hari.
2. DAGING MENTAH ATAU KURANG MASAK
Sumber daging mentah atau kurang masak berpotensi untuk mengandungi sejenis bakteria (Salmonella) yang boleh menyebabkan keracunan makanan atau parasit taksoplasmosis yang boleh memudaratkan bayi dalam kandungan ibu.
3. TELUR MENTAH ATAU KURANG MASAK
Telur mentah atau separuh masak adalah sangat tidak digalakkan kerana berpotensi mengandungi bakteria Salmonella. Dinasihatkan, pastikan anda mengoreng telur sehingga masak pada kedua – dua bahagian, atau jika secara rebus, masaktelur yang bersaiz sederhana sehingga 7 minit.
4. SESETENGAH KEJU DAN BARANGAN TENUSU
Antara keju yang perlu dielakkan termasuklah, keju yang lembut dan matang berkulat seperti Brie dan Camembert, keju biru seperti Danish Blue dan Stilton atau mana-mana keju yang tidak dipasteur seperti keju kambing dan biri-biri. Ini kerana keju boleh jadi rumah yang kondusif kepada sejenis bakteria seperti Listeria (boleh mati sekiranya di masak) untuk membiak .
Gambar: Camembert Cheese (sumber internet)
Gambar: Blue Cheese (sumber internet)
Jika anda peminat keju, antara keju yang selamat untuk anda ambil adalah semua keju keras termasuklah feta, Gruyere, dan Parmesan. Minuman yogurt dan prebiotik juga adalah selamat di ambil.
5. SALAD SEGERA
Walaupun penyediaan salad segera ini adalah mudah, tetapi anda perlu berhati-hati kerana ini mungkin mengandungi parasit toksoplasmosis dan juga bakteria Listeria. Jadi pastikan anda membasuhnya dengan teliti!
6. HATI DAN PATE (PRODUK HATI) SECARA BERLEBIHAN
Produk yang berasaskan hati mengandungi paras retinol yang tinggi dalam bentuk vitamin A jika diambil secara berlebihan yang mana boleh memudaratkan perkembangan bayi di awal kehamilan anda. USDA mengesyorkan pengambilan yang tidak melebihi 10,000 IU vitamin A (preformed) daripada gabungan suplemen, sumber haiwan, atau makanan yang diperkaya setiap hari.
7. MAKANAN LAUT MENTAH ATAU KURANG MASAK
Kebanyakkan makanan laut seperti ikan atu hidupan bercangkerang adalah selamat di makan asalkan ianya di masak dengan sempurna. Kerang, siput dan kepah mentah adalah tidak selamat kerana boleh menyebakan berlakunya keracunan makanan.
8. KURANGKAN PENGAMBILAN IKAN LAUT DALAM DAN BERMINYAK
Ikan yang berminyak seperti sardin dan salmon adalah contoh ikan yang kaya dengan minyak ikan lebih mudah tercemar berbanding dengan ikan berisi putih. Namun, ikan ini kaya dengan omega 3 yang juga penting untuk bayi dan ibu. Sebab itu dinasihatkan dihadkan pengambilannya supaya ibu dan anak masih mendapat faedah asid lemak omega 3 dan vitamin serta nutrisi lain yang terkading dalam ikan tersebut.
Manakala, ikan laut dalam seperti tuna adalah mengandungi paras logam berat merkuri yang tinggi. Jadi, elakkanlah memakannya kerana kandungan merkuri boleh memudaratkan perkembangan sistem saraf pusat bayi.