
Ibu bekerjaya hendaklah membekalkan susu perahan dengan sukatan dan aturan yang betul kepada penjaga. Ini adalah penting kerana ia dapat memastikan susu perahan dapat diberi dengan betul kepada bayi anda. Ia juga akan memudahkan kerja penjaga. Terdapat 8 langkah mudah bagaimana anda dapat membekalkan susu perahan kepada penjaga tanpa membebankan penjaga.
- Simpan susu yang diperah di dalam botol mengikut sukatan yang biasa diminum oleh bayi bagi setiap sesi. Kebiasaanya 2 – 4 oz untuk setiap botol.
- Elakkan memberikan bekalan susu perahan di dalam plastik kerana ini akan menyusahkan penjaga bagi memindahkan susu ke dalam botol sebelum dipanaskan. Kebarangkalian untuk susu tumpah juga adalah lebih tinggi.
- Bekalkan beberapa botol susu perahan yang sejuk (bukan susu beku) kepada penjaga, bergantung kepada keperluan bayi anda.
- Label setiap botol dengan aturan yang betul bermula daripada no 1 dan seterusnya. Label di atas penutup botol supaya mudah dilihat oleh penjaga. Tuliskan juga tarikh susu di perah.
- Apabila botol siap dilabel, masukkan ke dalam satu bekas yang muat kesemua botol tersebut. Label bekas tersebut dengan nama bayi supaya tidak tertukar dengan bayi lain.
- Simpan bekas tersebut dalam peti sejuk di bahagian bawah untuk dibekalkan kepada penjaga keesokkan harinya.
- Keesokkan hari, masukkan bekas berisi botol susu itu ke dalam beg tahan sejuk dan isikan pek ais. Ini bagi memastikan susu tetap stabil semasa perjalanan ke rumah penjaga atau taska.
- Sampai di rumah penjaga atau taska, masukkan bekas tersebut ke dalam peti sejuk. Pek ais dan beg tahan sejuk boleh dibawah ke pejabat bagi menyimpan stok susu yang diperah di pejabat.