Secara purata berat bayi baru lahir yang cukup bulan adalah di antara 2500 – 4500 gram. Terdapat banyak faktor sebenarnya yang menentukan berat bayi semasa hari kelahirannya. Ini termasuklah faktor genetik, kesihatan ibu sepanjang kehamilan, dan nutrisi yang baru perolehi semasa dalam kandungan ibu. Namun, anda TIDAKLAH PERLU RISAU jika berat bayi anda semasa lahir adalah rendah, ini kerana yang lebih penting adalah berat bayi selepas kelahirannya.
Pada awal kelahiran, adalah normal untuk bayi akan mengalami kehilangan berat sebanyak 5 hingga 7%. Ini kerana bayi akan mula banyak membuang najis mekonim (berwarna hijau kehitaman), serta terdapat juga sedikit kehilangan air daripada badannya. Namun, keadaan ini akan menjadi normal semula selepas 10 – 14 hari kelahiran bayi.
Perlu diingatkan, tumbesaran bayi bukan hanya diukur dengan perkembangan berat badan sahaja. Jadi, JANGAN SUKA-SUKA labelkan anak anda tidak membesar secukupnya. Sebab itu, antara faktor lain yang penting selain kenaikan berat bayi dalam menentukan tumbesaran yang normal termasuklah ketinggian bayi dan penambahan ukur lilit kepala.
Jadi, bagaimana pula nak tahu berat bayi anda adalah normal? Berikut merupakan panduan am tumbesaran bayi (mengikut berat) yang menyusu badan;
- Purata kenaikan berat bagi bayi 0-4 bulan adalah 170 gram seminggu atau di antara 150-240gram ( min 600 gram sebulan )
- Purata kenaikan berat bagi bayi 4-6 bulan adalah 110 – 140 gram seminggu ( min 440 gram sebulan )
- Purata kenaikan berat bagi bayi 6-12 bulan adalah 60 – 110 gram seminggu ( min 240 gram sebulan )
- Purata ketinggian bayi bagi 0-6 bulan adalah 2.5cm/bulan dan 1.27cm/bulan bagi bayi 6-12 bulan
- Purata penambahan ukur lilit kepala bagi bayi 0-6 bulan pula adalah 1.27cm/bulan atau 64mm/bulan bagi bayi 6-12 bulan