Makanan pelengkap kepada bayi bermaksud memberi makanan lain sebagai tambahan kepada susu ibu untuk anak anda. Pihak KKM menggariskan makanan pelengkap perlu diberi kepada bayi yang berumur enam bulan atau 180 hari, di samping meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur 2 tahun. Ia mestilah berkhasiat dan dalam kuantiti yang mencukupi agar anak tersebut dapat terus membesar.
Namun, terdapat segelintir masyarakat kita yang masih tidak mematuhi garis panduan yang diberikan oleh KKM ini dan memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi terlalu awal! Hal ini sebenarnya, memberi bebanan kepada kesihatan anak anda sendiri. Antara 6 akibat utama termasuklah:
- Mengambil tempat susu ibu, menjadikannya sukar untuk memenuhi keperluan pemakanan anak
- Menyebabkan diet yang rendah sekiranya cair, sup berair dan bubur digunakan
- Meningkatkan risiko penyakit kerana kurang faktor perlindungan dari susu ibu.
- Meningkatkan risiko diarea kerana makanan pelengkap tidak sebersih atau mudah dihadam seperti susu ibu
- Meningkatkan risiko wheezing (Bunyi yang dihasilkan semasa bayi bernafas) dan keadaan alergik kerana bayi masih belum dapat menghadam dan menyerap protein dari sumber haiwan dgn baik
- Meningkatkan risiko ibu mengandung lagi sekiranya ibu kurang kerap menyusukan bayi
Manakala, pemberian makanan yang terlalu lewat pula boleh mengakibatkan masalah seperti berikut:
- Tumbesaran terbantut atau perlahan daripada perkembangan bayi/kanak-kanal normal
- Mungkin tidak menerima zat untuk mengelakkan malnutrisi dan kekurangan seperti anemia akibat kekurangan zat besi
- Tidak mendapat makanan lebih yang diperlukan untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah
Kajian nutrisi mendapati terdapat jurang tenaga yang diperlukan oleh bayi selepas bayi berumur 6 bulan. Jurang tenaga ini hendaklah ditambah dengan memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi.
Pemberian makanan terlalu awal dan terlalu lewat boleh mengakibatkan kemudaratan kepada tahap kesihatan dan perkembangan fizikal dan mental anak anda. Justeru itu adalah sangat penting untuk anda memastikan anak mendapat makanan pada umur yang sewajarnya. Jika tidak pasti, boleh rujuk kepada doktor anak anda untuk dapatkan nasihat sewajarnya.