Bayi anda menggemari sebelah payudara sahaja? Sebenarnya, adalah menjadi kebiasaan jika bayi anda menggemari sebelah payudara sahaja. Dan, jika anda perasan, bayi anda akan menyusu dengan efisien dan lebih kerap menerusi sebelah payudara yang digemarinya. Sebenarnya terdapat beberapa sebab kenapa perkara ini berlaku. Antaranya refleks pancutan susu terlalu perlahan, atau terlalu laju atau pun boleh jadi juga susu anda kurang untuk sebelah payudara yang tidak digemarinya. Akibatnya, bayi akan menolak dan meragam untuk menyusu di payudara tersebut.
Dalam situasi ini, kegigihan dan kesabaran ibu adalah kunci utama kejayaan untuk memujuk bayi menyusu semula di payudara yang tidak digemarinya. Perlu diingatkan bahawa BAYI PERLU DIPUJUK DAN BUKAN DIPAKSA! Teknik memujuk adalah sangat penting dalam usaha untuk mengembalikan minat bayi anda.
1. Susukan bayi anda dalam situasi bayi tidak sedar akibat mengantuk dan sebagainya.
Anda boleh mencuba untuk susukan bayi anda ketika bayi baru bangun tidur dan belum benar-benar sedar atau ketika dia sedang mengantuk. Bayi akan lebih mudah untuk bekerjasama dan bertindak secara spontan.
2. Mulakan penyusuan di payudara yang tidak digemarinya
Jika anda memulakan penyusuan di payudara yang digemarinya terlebih dahulu, adalah sukar untuk anda menukar kepada payudara yang tidak digemarinya. Jika berlaku pancutan refleks semasa penyusuan, alih kepada payudara yang sebelah lagi tanpa menukar posisi kepala bayi. Mulakan penyusuan dengan posisi cradle hold dan menukar posisi kepada football hold – posisi ini tidak memerlukan anda menukar posisi kepala bayi. Anda juga boleh mencuba posisi lain yang sesuai.