Jangan panik jika anda hanya mula memerah susu beberapa hari sebelum mula bekerja. Ini kerana jika anda panik, ianya tidak membantu apa-apa, malah menyebabkan susu dihasilkan dengan lebih kurang kerana refleks ejeksi susu terencat. Sewajarnya, ibu hendaklah tenang, perah seperti biasa dan boleh mencuba beberapa perkara dibawah untuk menambahkan lagi aliran susu.
1. PERAH SAMBIL MENYUSUKAN ANAK
Tandem Nursing, atau menyusukan anak sambil memerah susu dapat meningkatkan refleks ejeksi susu kerana kedua-dua payudara bekerja dengan serentak. Untuk permulaan, biasanya ibu akan merasa sedikit kekok dan tidak cukup tangan. Namun, bila dah menjadi kebiasaan ibu lebih tahu posisi mana yang lebih sesuai untuk memudahkan proses ini. Lazimnya, ibu akan lebih selesa dengan posisi mendakap (football hold), yang mana badan dan kaki bayi diampu dengan menggunakan bantal (rujuk gambar di bawah). Posisi ini juga dapat mengelakkan kaki bayi mengganggu proses memerah di payudara satu lagi.
Paling penting, pastikan bayi selesa dan disokong sepenuhnya serta melekap di payudara dengan sempurna. Kemudian, satu lagi tangan digunakan untuk meletakkan pam di payudara di sebelah lagi.
2. PERAH SELEPAS MENYUSU
Salah satu cara yang berkesan adalah dengan berusaha untuk tingkatkan permintaan (demand) susu dengan cara perah selepas sesi penyusuan. Ini berupaya untuk memberi isyarat kepada badan ibu supaya menghasilkan lebih banyak susu.
Ramai ibu beranggapan bila pertama kali melakukan susu akan terus banyak! INI SALAH! Pada mulanya mungkin susu tidak banyak yang keluar sebab demand tak pernah ada.. Namun, setelah beberapa hari kemudian badan ibu akan mula untuk menyesuaikan diri dengan rutin ini dan menghasilkan susu dengan lebih banyak lagi. Bila nak perah? Sejam selepas menyusu adalah waktu yang terbaik. Sebaiknya jangan menunggu lama selepas menyusu bagi memerah.