Sedar atau tidak kadangkala penyusuan selalu dipersalahkan untuk dalam macam-macam hal – sebagai contoh jika sekiranya ibu sentiasa letih, gugup, menangis, sakit, mengalami sukar tidur dan sebagainya. Dan apabila ada sesuatu tidak berlaku dengan lancar mengikut aturan yang biasa, si ibu akan dinasihati oleh ramai ‘orang’ bahawa lebih baik jika penyusuan diberhentikan. Sedangkan dalam kitab Allah terus terang mengatakan;
Surah al-Baqarah ayat 233
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”.
Hakikat, salah faham dalam penyusuan menyebabkan banyak mitos yang tak berasas timbul, namun disalah percaya oleh masyarakat yang kurang ilmu tentang penyusuan. Dan ini sebenarnya yang menyukarkan sesuatu penyusuan itu! Antara mitos yang timbul termasuklah;
1. Ramai wanita tidak menghasilkan susu yang mencukupi
- Hakikatnya, kebanyakan daripada bayi yang mengalami peningkatan berat badan yang terlalu perlahan atau penurunan berat badan selalunya bukan kerana susu ibu yang tidak cukup, tetapi bayi tidak memperolehi susu ibu yang sedia ada dengan efektif disebabkan pelekapan payudara yang kurang sempurna
2. Sakit Semasa Penyusuan Adalah Perkara Biasa
- Sebarang kesakitan yang terlampau adalah TIDAK NORMAL dan selalunya disebabkan teknik pelekapan yang salah. Manakala, kesakitan yang berlaku secara tiba-tiba walaupun proses penyusuan berlangsung secara langsung sebelum ini, mungkin disebabkan oleh jangkitan ragi pada puting
3. Tiada susu atau susu tidak mencukupi dalam 3-4 hari pertama selepas kelahiran
- Hal ini berlaku kerana bayi tidak melekap dengan betul seterusnya menyebabkan tidak memperolehi susu dengan efektif. Bila ransangan kurang, maka lebih lambat untuk susu keluar dengan lebih banyak.
4. Bayi hendaklah menyusu selama 20 (10, 15, 7.6 atau XX) minit di setiap sisi payu dara
- Sebenarnya, bayi akan menyusu dengan lebih baik dan lebih lama dengan pelekapan yang betul. Untuk membantu bayi agar menyusu dengan lebih lama, ibu boleh melakukan kompresi buah dada (breast compression) untuk memastikan aliran susu yang berterusan, sewaktu bayi berhenti menelan dengan sendirinya. Maka, jelas sekali panduan umum yang menyatakan bahawa bayi mendapat 90% bekalan susu ibu dalam 10 minit pertama tempoh menyusu adalah tidak benar sama sekali
5.Bayi yang menyusu memerlukan air tambahan apabila cuaca panas
- Susu ibu mengandungi segala air untuk memenuhi keperluan bayi. Hakikatnya susu ibu mengandungi 80% komposisi susu adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga dan susu akhir (hindmilk) untuk mengenyangkan bayi. Naluri semulajadi manusia minum kerana dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dan laktosa. Kemudian barulah susu akhir yang pekat (kandungan lemak tinggi) yang akan mengenyangkannya.
6. Bayi yang menyusu memerlukan vitamin D tambahan
- Melainkan dalam keadaan luar biasa ( Contohnya: jika ibu sendiri mengalami kekurangan vitamin D sewaktu hamil) bayi sudah menyimpan vitamin D sepanjang tempoh kehamilan. Sedikit pendedahan matahari secara tetap serta berterusan membekalkan segala keperluan vitamin D yang diperlukan bayi. Jadi, tak perlu jemur bayi anda!
7. Seseorang ibu perlu membersihkan puting setiap kali sebelum menyusu
- Amalan membersihkan puting setiap kali sebelum penyusuan adalah tidak perlu, rumit dan bertindak menanggalkan lapisan minyak yang melindungi puting.
8. Pengepaman susu adalah kaedah yang baik untuk mengetahui jumlah susu yang dihasilkan ibu
- Amalan mengepam hanya menandakan kepada anda berapa banyak susu yang boleh diperah oleh anda, dan bukannya menanda aras jumlah susu yang boleh dihasilkan ibu. Ini kerana bayi sebenarnya adalah pam semulajadi terbaik yang boleh menikmati lebih banyak susu daripada jumlah yang dapat dipam oleh ibunya.
9. Susu ibu tidak mengandungi zat besi yang mencukupi untuk keperluan bayi
- Bayi yang dilahirkan cukup bulan akan mendapat zat besi yang secukupnya untuk 6 bulan yang pertama. Hakikatnya, jika anda memberikan bayi anda susu formula, zat besi dalam susu formula adalah sukar diserap dan sebahagian besar daripadanya hanya dikeluarkan melalui saluran najis.
10. Wanita yang mempunyai payu dara yang kecil menghasilkan susu yang kurang berbanding dengan mereka yang mempunyai buah dada yang besar.
Payudara Kecil Susu Sikit adalah mitos dan TIDAK BENAR SAMA SEKALI.
Yang membezakan saiz payudara setiap perempuan adalah sel lemak yang terkumpul. Lagi banyak lemak, maka lebih besarlah payudara seseorang wanita tu.. Dan, sel lemak ini tak ada kaitan langsung pun dengan kuantiti susu yang bakal terhasil.
11. Susu Formula terkini adalah setanding dengan susu ibu
- Rumusan formula adalah tiruan susu ibu yang tidak lengkap, dan dirumuskan berdasarkan pengetahuan susu ibu yang tidak menyeluruh. Susu formula tidak mengandungi antibodi, sel-sel hidup, enzim, mahupun hormon. Malah, protein dan lemak dalam rumusan formula adalah berbeza dengan protein dan lemak yang terkandung dalam susu ibu.
12. Ibu yang terkena jangkitan perlu berhenti menyusu
- Amalan meneruskan penyusuan dapat memberi perlindungan kepada bayi melainkan dalam kes yang sangat terkecuali. Perlindungan terbaik bagi si bayi terhadap jangkitan tersebut adalah menerusi penyusuan. Jangkitan payu dara, termasuk abses payu dara, walaupun menyakitkan, bukan sebab untuk berhenti menyusu. Malah, jangkitan itu mungkin pulih jika ibu meneruskan penyusuan pada buah dada yang terjejas
13. Ibu yang mengalami pendarahan puting tidak boleh menyusukan bayi
- Puting yang sakit dan berdarah tidak kurang sama keadaannya berbanding puting yang sakit dan tidak berdarah. Kadang-kadang ibu mengalami pendarahan puting yang jelas sekali berpunca daripada dalaman payudara. Ini sering berlaku dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran dan reda selepas beberapa hari kemudian. Jika pendarahan masih belum berhenti, punca masalah perlu disiasat tetapi ibu masih perlu meneruskan penyusuan
14. Bayi yang sumbing bibir dan/ atau sumbing lelangit tidak boleh menyusu
- Biasanya, bayi yang mengalami sumbing bibir boleh menyusu tanpa masalah, namun ramai bayi dengan sumbing lelangit memang mengalami kesulitan untuk melekap. Dapatkan bantuan pakar penyusuan, jika perlu.
15. Ibu menyusu tidak boleh mengambil pil pencegah kehamilan
- Sebaik-baiknya, wanita yang menyusu menghindari daripada pengambilan pil perancang keluarga, atau sekurang-kurangnya menunggu sehingga bayi mula diberi makanan pejal ( biasanya 4-6 bulan). Sekiranya pil pencegah kehamilan betul-betul diperlukan, pilihlah untuk menggunakan pil progesteron sahaja (tanpa estrogen).
16. Selepas usia 6 bulan, bayi yang menyusu memerlukan jenis susu yang lain
- Bayi yang berusia lebih daripada 6 bulan harus diperkenalkan makanan pelengkap agar mereka belajar cara memakan, dan supaya mereka mendapat sumber zat besi dari punca yang lain, kerana zat besi yang terkandung dalam susu ibu sudah tidak cukup untuk menampung keperluan bayi berusia 7-9 bulan. Namun, dinasihatkan untuk meneruskan penyusuan sehingga bayi berumur 2 tahun.
17. Ibu yang menerima imunisasi perlu berhenti menyusu selama xx hari dsb (Contoh imunisasi; Tetanus, Rubella, Hepatitis B, Hepatitis A, dan lain-lain)
- Tiada risiko untuk bayi, malah ianya mungkin memanfaatkannya. Namun, terdapat pengecualian ke atas bayi yang kekurangan daya tahan, tetapi ini jarang berlaku. Dalam kes seperti ini, ibu tidak patut menerima imunisasi yang melibatkan virus hidup yang dilemahkan, walaupun bayi hanya diberi susu perahan daripada botol
18. Susu ibu boleh KERING dengan begitu sahaja
- Sekiranya ini boleh berlaku, ianya mestilah kejadian yang amat jarang sekali. Melainkan variasi dalam bekalan susu harian dan sedikit persilihan dari pagi hingga petang, pengeluaran susu tidak akan berubah secara mendadak dengan tiba-tiba
- Terdapat beberapa perubahan yang kelihatan seolah-olah pengeluaran tiba-tiba berkurangan :
a. Peningkatan dalam keperluan bayi (Growth Spurt)
b. Perubahan tingkah laku bayi
c. Bayi menyusu dengan kurang baik
d. Payudara ibu seolah-olah tidak penuh atau lunak
e. Pil perancang keluarga (untuk sesetengah jenis)
19. Wanita mengandung harus berhenti menyusu
- Ramai wanita yang berhenti menyusu apabila hamil kerana kepedihan pada puting atau atas sebab-sebab lain, namun tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan ini kerana dari segi perubatan, ADALAH TIDAK PERLU UNTUK BERHENTI MENYUSU. Tidak dinafikana, bekalan susu mungkin berkurang atas faktor hormon tetapi ini tidak menjadi masalah jika bayi mengambil makanan lain.
20. Bayi perlu belajar mengambil botol dan ia harus diperkenalkan sebelum bayi menolak penggunaannya
- Sekiranya ibu berhajat untuk memperkenalkan botol, adalah lebih baik menunggu sehingga bayi menyusu degan baik untuk 4-6 minggu. Pemberian botol di awal penyusuan bukanlah idea yang bagus dan menyukarkan penyusuan kerana bayi mudah keliru puting kerana cara hisapan botol dan payudara adalah tidak sama.
21. Ibu yang menjalani pembedahan perlu menunggu sehari sebelum menyusu
- Boleh menyusukan bayi melainkan dalam keadaan yang terkecuali ats nasihat pakar. Hospital yang memahami keperluan akan mengaturkan agar penyusuan diteruskan apabila bayi atau ibu terpaksa dirawat di sana. Banyak peraturan yang menyekat penyusuan adalah untuk memudahkan urusan kakitangan hospital daripada untuk kebaikan ibu dan bayi.
22. Wanita yang payudaranya tidak membesar atau membesar hanya sedikit semasa mengandung, tidak akan menghasilkan susu yang mencukupi.
- Hanya segelintir kecil wanita yang tidak boleh menghasilkan susu yang mencukupi (walaupun mereka boleh terus menyusukan bayi dengan alat bantuan laktasi). Majoriti wanita yang payudaranya seolah-olah tidak membesar sewaktu hamil menghasilkan lebih daripada susu yang mencukupi.
23. Payudara ibu yang tidak tampak penuh hanya menghasilkan sedikit susu
- Hakikatnya, payudara tidak perlu untuk berasa penuh untuk menghasilkan banyak susu. Adalah normal apabila payudara seseorang wanita yang menyusu merasa kurang penuh semasa badan menyesuaikan diri dengan pengambilan susu bayinya. Ini boleh terjadi secara tiba-tiba dan berlaku seawal dua minggu selepas kelahiran atau lebih awal
24. Jika bayi tidak menyusu pada payudara untuk beberapa hari (minggu), ibu tidak boleh menyusu lagi kerana susu sudah basi
- Hakikatnya, susu ibu tetap baik dan segar seperti sebelumnya jika tidak dikeluarkan daripada payudara untuk beberapa hari (minggu). Susu ibu bukan susu formula atau susu dalam botol yang terdedah dengan kuman dan pencemaran lain.