Bolehkah saya membeli pam terpakai? Tahukah anda, FDA, Amerika tidak menggalakkan penggunaan pam terpakai ataupun berkongsi pam dengan dua atau lebih daripada 2 pengguna. Ini adalah untuk mengelakkan risiko seperti:
A. Risiko jangkitan kuman daripada seorang pengguna kepada pengguna lain
Jangkitan kuman boleh berlaku kerana bagi sesetengah pam bukan semua bahagian pam dapat dicuci atau disterilkan. Hal ini boleh menyebabkan risiko berlakunya jangkitan kuman. Malah, terdapat pam yang tidak direka dengan mekanisme mengelakkan susu yang diperah termasuk ke dalam motor melalui tiub sambungannya. Ini mengakibatkan terdapat risiko susu daripada tiub untuk termasuk ke dalam motor dan seterusnya mencemari pam tersebut.
B. Risiko membeli pam tidak berkualiti dan tidak sesuai
Risiko untuk membeli pam tidak berkualiti dan tidak sesuai adalah lebih tinggi jika anda membeli pam tersebut secara online. Ini kerana anda sukar untuk mengetahui berapa lama ia sudah digunakan dan sekiranya tidak bernasib baik, ANDA MUNGKIN TERBELI PAM YANG ROSAK!
Sebaiknya, ibu berusaha untuk mengumpul wang dan membeli pam susu yang baru. Namun, jika faktor ekonomi menjadi kekangan, anda tidak mampu untuk beli pam yang berkualiti dengan harga yang mahal, dan pam murah pula tidak berkualiti. Sekiranya, anda mempunyai kawan-kawan atau saudara mara yang boleh dipercayai dan bebas daripada sebarang penyakit. Anda boleh membuat keputusan mengikut pertimbangan anda.
Sekiranya anda membuat keputusan untuk membeli pam yang terpakai ini, anda dinasihatkan supaya membeli botol, tiub dan corong baru.